Cinta adalah perosak terbesar jiwa...
Tak percaya?
Nak gaduh, atau berdebat?
Silakan..
Terkadang saya jelak membaca tentang manusia yang tega mengambil nyawa sendiri.
Mengunyah ubat nyamuk kerana cinta tak diterima -
Membuat terjun tiruk dari bangunan tinggi kerana cinta tidak direstui -
Melompat di depan ktm@LRT kerana ditinggalkan sang jantan durjana -
(lalu menyusahkan pegawai bertugas utk mengutip sisa2 daging yang melekat di celahan rel).
Kerana apa? Cinta.........
Agar kamu tahu, ya.. Nyawa kamu bukan hak milik kamu, jadi tolonglah ada rasa malu!!
Imagine ini :
Selama lebih dua puluh tahun, kamu berjalan di tanah padang pasir yang kontang, yang panas dibakar terik mentari. Kamu berjalan mencari dan mencari tapi tak sampai ke destinasi. Kamu kehausan, itu pasti. Kamu merangkak mencari air, tapi yang ada cuma segeluk lopak air yang keruh dan kotor. Kerana terlalu haus kamu minum juga. Tetapi tak cukup. Dalam pencarian kamu, kamu harus terus berjalan, dan kamu haus lagi. Lopak air senantiasa ada di kiri kanan jalan, cuma kamu tidak puas meminumnya. Kamu inginkan yang lebih baik. Kalau tidak dapat air tebu, sekurang-kurangnya kamu mengharapkan air putih.
Di sepanjang jalan, kamu merintih, kamu mengharapkan bantuan Tuhan. Di pertengahan jalan kamu berjumpa dengan seseorang yang membawa bekas-bekas berisi air. Kamu meminta ihsannya, dia mahu perkenan, tapi dengan bersyarat. Syaratnya pula bukan sebarangan. Dengan menerima ihsannya, secara tak langsung kamu menjauhi rahmat Tuhan. Kamu tahu itu. Tapi kamu terlalu haus dan terlalu amat dambakan air buat membasahi tekakmu saat ini. Kamu terlalu bimbang jika kamu melepaskan peluang ini, kamu akan mati kehausan di jalanan nanti. Jadi kamu terima.
Dahagamu hilang, saat itu kamu sudah tidak meminta-minta daripada Tuhan malah langsung tidak mengingati-Nya. Tapi bukan selalu dia akan mahukan kamu. Bila kamu sudah tidak diperlukan, kamu dicampakkan di tengah jalan. Kembali, tanpa sepatu, tanpa apa-apa kecuali air mata, kamu berjalan mencari tujuan. Bertahun-tahun lagi kamu berjalan, dan kehausan. Dan berkali-kali itulah kamu akan berjumpa dengan insan-insan yang akan sudi memberikan kamu air dengan syarat kamu punya sesuatu untuk dijadikan bahan tukaran dan tuntutan mereka pula merupakan perkara-perkara yang salah serta cuma menjauhkan kamu daripada redha Tuhan.
Saat kamu dibuang-buang dan di saat kamu perih di bawah mentari kembali kamu menyebut-nyebut permohonan pada Tuhan. Nun di depan sana, tiba-tiba ada seseorang yang datang menghampiri saat kamu sudah putus harapan, dan menghulurkan air sebanyak-banyaknya tanpa mengharap balasan kerana dia membantumu, dan memberikan apa yg kamu perlukan kerana cinta-Nya pada Tuhan.. Tidak cukup dengan itu, dia mengambil kamu, dan menunjukkan kamu jalan kebenaran dan mengakhiri pencarian kamu selama ini..
Moral of the story :
Kita manusia, kita ada keperluan dan cinta itu salah satu keperluan kita sebagai manusia..
Itulah yang dinamakan fitrah.. dan cinta adalah anugerah..
Berdasarkan cerita di atas, pencarian yang dimaksudkan adalah pencarian 'insan itu' terhadap cinta. Perjalanan yang dilaluinya itu adalah kehidupan ini, dan dia berjalan di sepanjang hidupnya mencari cinta. Dan di dalam pencarian, dia pasti akan kehausan kasih-sayang dan lopak-lopak di sepanjang jalan iaitu kasih-sayang saudara-mara, ahli keluarga dan rakan-rakan hanya terlihat sebagai satu sisi yang kecil, tidak lagi sedap dan tidak terlalu penting. cukup setakat ada, tetapi masih belum dapat memuaskan naluri yang inginkan cinta. Jadi, bila bertemu dengan orang yang salah, ataupun orang yang menawarkan cinta dengan cara yang salah, biarpun dia tahu itu berdosa, tapi dia tetap menerimanya utk menghilangkan dahaga.
Saya juga manusia itu.. Saya tidak sabar, saya tidak tahan diduga dan tidak tahan bila berdepan dengan ujian. Yang lebih jahil, saya tahu kalau perbuatan itu berdosa tapi kerana kehendak hati, saya menerimanya.. KALAULAH, kalaulah saya cuba bersabar sedikit sahaja lagi, mungkin saja Allah sudah menghantar seseorang untuk menghilangkan kedahagaan saya tanpa mengharapkan balasan. Tapi kita manusia, kita sentiasa takut kalau-kalau kita melepaskan yang ini, di hadapan nanti kita tidak akan ketemu lagi dengan apa yang kita perlukan jadi kita terima sahaja tawaran yang mendatang biarpun ianya salah dan melanggar batas-batas kesusilaan. Kita lupa, yang mendatang dengan tawaran menarik itu ujian. Sebahagiannya terang-terangan tawaran daripada Iblis dan syaitan tapi kita tetap terjebak dalam permainan, kan? Tanpa kita sedar, KALAULAH kita menolak tawaran tersebut dan kita akan mati kehausan di tengah jalan, sekurang-kurangnya mati kita dengan terpelihara iman..
Permulaan yang salah membawa pengakhiran yang juga menyakitkan. Saya percaya cinta-cinta yang menuntut pengorbanan jiwa seperti yang disebutkan di permulaan entri ini merupakan cinta yang dimulakan dengan cara yang salah, juga disusuli dengan tindakan-tindakan yang salah. Kerana itu pengakhirannya tidak mungkin menjadi benar..
Saya bersyukur saya masih mahu meneruskan perjalanan itu, dan tidak bertindak mengambil nyawa sendiri. Dalam perjalanan kita, kita akan sentiasa dipertemukan dengan orang yang salah, sebelum menemui insan yang benar-benar diciptakan untuk kita. Sentiasa pahatkan dalam-dalam sudut minda dan hati tentang itu. Allah sentiasa ada untuk kita, cuma kita kena selalu cari Dia, dan mengadu pada-Nya.
Teringat 1 kata-kata yang pernah membuatkan saya melotot mencari-Nya suatu ketika dulu. 'Allah sengaja menguji kita dengan dugaan-dugaan dan kesusahan kerana Allah rindu nak dengar tangisan kita, dan rintihan-rintihan kita merayu-rayu memohon padaNya..' Cuba bayangkan, kalau Allah x bagi kita kesusahan, Allah sentiasa bagi kita kesenangan, pasti jarang-jarang kita mengingati Dia kerana kita berasa sudah cukup dengan apa yang kita ada.. =)
Ada sahabat pernah berkata, kita jangan bimbang kalau Allah tak tunaikan permintaan kita, atau memberi ujian yang berat-berat pada kita. itu tandanya Allah peduli, dan Allah sertakan pahala bersama setiap satu bebanannya. Tapi bimbanglah kalau Allah berikan terlalu banyak kesenangan, kerana setiap satu daripadanya disertai tanggungjawab dan akan dipersoalkan, dan kita patut bimbang juga bila hidup kita begitu sahaja. Tidak susah, tidak senang, tidak ada ujian dan tidak ada apa-apa.. kerana mungkin Allah sudah mula tidak mempedulikan kita, maka kitalah yang sepatutnya berasa bimbang dan mencari-Nya agar Dia tidak melupakan Kita..
Begitu pula halnya dengan cinta..
Cintailah mereka yang mencintai Allah,
kerana orang yang mencintai Allah,
akan belajar untuk mencintai amanahnya dengan penuh rasa tanggungjawab dan ihsan..
=) Wallahua'lam..
Psssttt : Saya masih berjalan, dan kini saya telah menemui seorang tuan yang sudi menuangkan minuman.. saya berharap dia akan sudi membantu saya menunjukkan jalan menuju kebenaran.. amin..
No comments:
Post a Comment