Ada otak, penat telan buku..
Ada tulang, penat jalan arah..
Ada bahu, penat usung amanah..
Ada keringat, melimpah di hujung baju..
Apa ditengking-jerkah kalau mahu diarah-arah,
Dari ikhlas jadi malas daya dicantas!
Apa diherdik-pekik kalau hendak tugas jadi cantik?
Dari molek pergi jelek tenaga kau tarik!
Lembu tertunduk dan berhidung besarkah ini?
Sewenang dicucuk dan diikat tali didorong menonong..
Panas sampai lemaskah itu dalam lekit peluh celah hawa dingin?
Sampai perlu tukang kipas mengibas-ngibas sampai pusing..
Tulang yang berkerat empat aku angkat,
Entang berkerat mahu dilipat-lipat sampai mampat?
Penat, aku penat bermuka banyak kerana mahu bagi makan anak,
Penat, aku penat berkulum lidah bagi yang indah-indah pada yang patut diludah!
Penat mahu bermandi mentari aku memilih bawah selimut,
Penat mahu berbasah hujan aku memilih kopi panas dan ubi kelapa parut,
Penat mahu apa-apa aku memilih tiada-tiada..
Tapi..
bagaimana kalau hujan penat dan berhenti mencurah?
bagaimana kalau mentari penat dan berhenti mencerah?
bagaimana kalau bulan penat dan berhenti menjengah?
bagaimana kalau Allah 'penat' melayan kita punya kerenah?
aku penat.. sungguh.. tapi aku tak boleh menyerah..
No comments:
Post a Comment