Dijerit-pekik takde yang dengar... Lalu kupetik huruf, kususun-susun jadi bahasa hati. Ini hati aku, ini jari aku... This is My Moonlight Sonata~

Thursday, August 25, 2011

It's raining.. and u know what it means..

Tangan terbuka, dan tali itu dah selamat aku lepaskan. Layang-layang bersayap lebar dengan tulisan 'Si Pelindung' terbang di langit. Bukan sendiri, layangannya bertemankan Armada Chenta..

Ingatkan seribu benci yg ada dalam hati mampu membuang dia jauh-jauh pergi. Rupanya belum lagi.. It's raining heavily here, and u know what it means..

  • Before, I asked God to give me someone special to love. i Found u then lost u. I asked God why and He answered, "But my child, the one u asked for asked for somebody else." 
  • It's so easy to play with love, so easy to fool someone, so easy to make someone cry. But it's so hard if u're the one who's played with, fooled and the one who cried.
  • Sometimes it's hard to say no when u really mean yes, it's hard to close your eyes when you really want to see, it's hard to forget when you really can't and the hardest is to go when you really want to stay.
  • I envy the one u love, the one whom u belong to. But I've thought much to realize how envious the one u love could get if only she had known that I am the one who can love u best. 
  • Just when questions seemed endless, it suddenly became clear. You came not to love me but to teach me how to love. Then u walked away without any idea how much I've learned and how much it hurts.
  • Sometimes the best way to say I Love U is to hold his hand, give it to the one he loves, let go, pretend it's okay when deep inside, you're dying.
  • I know I will never ever have U again so should I try? I know U will never care so why do I cry? I'm going to forget U, I tell myself a lie cause I'll always have a part of U till the day I die.









*credit : Kenneth7100

Monday, August 1, 2011

Riwayat Si Perungut..

Tahu tak perkataan 'perongoih?'

Cikgu cakap jangan malas! Setiap orang mesti simpan satu kamus dalam kocek mereka. Kalau kamu tak ada kocek kemeja, sediakan kamus dalam kereta..

Aku tanya kamu tahu tak apa maknanya? Tapi aku tak minta jawapan.. Sebab aku tahu apa maksud perongoih. Akulah tu.. Si Perongoih itu..

Hari ni aku dapat pengajaran terbaik. Kalau korang pun perongoih = perengus+perungut (ikut kamus Dewan Bahasa si Sorrow Reen ni), silalah tonton ini :


http://www.facebook.com/video/video.php?v=183705981691621&oid=182861435058972

Untuk adik-adik yang kurang paham Bahasa Inggeris, meh akak cerita kat korang apa Pak Arab ni cakap..

Al-Kisah, Pak Arab ni naik bas, dia nampak sorang budak perempuan berambut kuning keemasan. Satu ketika, dia 'wish' dia cantik/putih macam budak perempuan tu. Tiba-tiba budak perempuan tu bangun dan berjalan dengkot-dengkot guna tongkat. Budak perempuan tu ada hanya satu kaki, tapi masih mampu tersenyum. Jadi - Allah, 'maafkan aku sebab selalu merungut..'.

Pak Arab ni turun dari bas, nak beli candy daripada sorang remaja lelaki ni. Pemuda ni ada daya penarik (kacak) dan mungkin masa tu Pak Arab ni 'wish' dia 'charm' macam lelaki tu kot.. Pak Arab ni berbual dengan lelaki ni dan lelaki ni layan aje Pak Arab ni berborak. Sebelum Pak Arab ni pergi, pemuda tadi memuji kebaikan Pak Arab yang sudi melayan dia walaupun dia buta.. Pak Arab (yang baru perasan bahawa pemuda tu buta), berlalu sambil berkata (dalam hatinya) - Allah, maafkan aku kerana selalu merungut..

Pak Arab ni ternampak pula sorang budak lelaki bermata biru duduk sorang-sorang sambil menangis tengok kawan-kawan dia yang lain main. Pak Arab ni berhenti dan bertanya - "Kenapa tak main sekali?". Masa tu baru dia sedar budak tu pekak dan bisu.. Lagi sekali - Ya Allah, maafkan aku kerana selalu merungut..

The best part dalam klip ni :

I have two legs.. 
With feet to take me where i go, the world is mine..


I have two eyes..
With eyes to see the sunset's glow, the world is mine..


I have two ears..
With ears to know what i'd know, the world is mine..


Oh God, forgive me when i'm whine..


Hari ni 1 Ramadhan..
Cukup-cukup la aku hidup dalam keadaan mencukupi tapi aku selalu rasa ada je yang tak cukup..


Hari ni 1 Ramadhan..
Sudah-sudah la aku tak sudah-sudah rasa hidup aku ni susah..


Hari ni 1 Ramadhan..
Moga-moga rasa insaf yang singgah di hati berkekalan..


*kesat hingus yg meleleh kat lengan baju*

Aku kena belajar bukak buku baru.. hari yang lepas-lepas entry aku semua emo-emo, lepas-lepas ni aku nak jadi aku yang baru.. boleh jalan dengan cerita lama, boleh pergilah cinta-cinta dusta tu semua.. Aku tau aku hilang sorang, ramai lagi teman yang aku ada..

notahati : Belajar untuk bersyukur, dan apa yang ada dalam dunia ni sebenarnya dah mencukupi untuk kita.. Allah saja pun dah lebih dari mencukupi sebenarnya.. Allah, forgive me when i whine..

Wednesday, June 29, 2011

Gadis dan Puisi Lara..






Sunyi.. malam ini malam mati..

Sebuah rumah papan di tepi sungai kelihatan senyap.
Ada cahaya bersinar sebaik jendela dibuka. Si Gadis duduk di birainya,
melangu di balik tirai melakar kata..

Puisi ini puisi lara..
aku habisi dengan air mata,
aku tangisi dengan sakit tiada tara,
padamkan jika yg kau lihat - api,
siramkan jika yg kau rasa - kemarau..

Puisi ini puisi sengsara..
aku lukiskan dgn dakwat hiba,
aku nyanyikan dgn melodi derita,
tutupkan lagu bila yg kau rasa - pilu,
gubahkan liriknya jika kau terasa sendu..

Puisi ini puisi sepi..
aku lagukan dengan nada bisu,
aku siulkan dengan not-not rindu,
tutupkan telinga kerana lirihku sumbang,
pejamkan mata kerana rupaku rompong..

Puisi ini puisi air mata..
aku.. 

nyata si Gadis tidak mampu menghabisi apa yg telah dimulai..
kertas dikeronyok, dikeramas kuat.
Air mata jatuh semahunya. Malang, air matanya terlalu murah,
biar berjuta titis dikutip, masih tidak cukup buat membeli walau hanya secebis cinta.

sambil menahan nafas dan sendu, kertas ronyok dicampak jauh.
Dia berharap keluhannya sampai ke bulan..

_________________________________________________________  @@@

Gadis itu menapak di atas batu-batu sungai.
Batu yg tajam menusuk kaki bogelnya tidak dihirau,
sakit itu tidak apa-apa jika dibanding rasa sakit hatinya.
Atau sahaja dia memang begitu? sudah mati hati dan jiwa,
sudah tidak mampu mengecapi apa-apa rasa..
Mentari pagi yg terik pun tidak mematah semangatnya utk bermenung di situ.

Matanya terpaku pada kolek yg teroleng di tepi rumpun buluh,
di dalamnya ada sekeronyok lembaran kertas.
Dia tahu itu kertas yg dicampak semalam,
dia juga tahu kertas itu langsung tidak sampai ke bulan.

Kolek kembali ditenung.
Kolek itu hampir hancur. Kayu-kayu yg dulunya kuat sudah pecah-pecah,
paku-paku sudah berkarat, badannya tidak lagi kukuh,
lantainya saja sudah rapuh..
kerana itu, kolek hanya tersadai di tepi sungai.

Matanya tiba-tiba terlihatkan ukiran di badan kolek - 
ada namanya di situ. Kolek itu diberikan sempena namanya..
Kata babah, kolek itu dibina untuknya.
Menjelang kelahirannya, kolek itu disiapkan dan diukir dgn namanya.
Kata babah lagi, dalam banyak-banyak perahu yg pernah dibina,
kolek itu yg terbaik yg pernah diciptanya. Kolek itu yg plg sempurna.

Dia membesar dengan si kolek.. kolek itu teman baiknya.
Sehinggalah umurnya beranjak beberapa tahun, babah meninggalkannya.
Tidak tahu, babah ke mana.. tapi babah sudah tidak mempedulikannya.
Mujur, masih ada sang ibu. Kasih sayangnya tumpah hanya untuk wanita itu, dan pada si kolek,
si kolek yang berkongsi nama dan rasa dengannya..
Selama itu juga, dia membesar menjadi Gadis yg muram,
yg lebih banyak berdiam dari berkata, kecuali bila dia berkata-kata dengan hatinya.
Temannya tiada lain, cuma kolek.. ya, kolek satu-satunya.. rindunya pada babah pun terubat krn kolek ada dengannya.

Sembilan belas tahun usianya, dia mula belajar menganyam cinta..
Kolek sudah tidak dihiraukan, dan perlahan-lahan sayang pada kolek berubah menjadi dendam.
Dia menjadi benci pada kolek kerana kolek terbina dgn kasih-sayang babah,
dan kalau benar babah sayangkannya, kenapa babah tergamak membuang dirinya?
adakah benar babah sayang spt yg dikatakan atau itu semua palsu belaka?
kasih sayang yg dihulurkan Jejaka dengan mudah membuatkan dia meluat pada si kolek.
Buat pertama kalinya, Gadis membenarkan orang lain selain dirinya menceroboh si kolek,
jika dulu, dia cukup berang jika sesiapa cuba-cuba menginjakkan kaki ke atas kolek,
tapi kini dia sendiri turut serta bila Jejaka menginjak-injak kolek.
Diizinkan Jejaka mengemudi kolek, tapi Jejaka cuma tahu berjanji.
Lagi-lagi, Jejaka tidak ke mana-mana, cuma suka memijak-mijak dan bersuka-suka atas kolek.

Bertahun-tahun dengan Jejaka menyedarkan Gadis bahawa semakin lama, semakin jauh kolek dikemudi,
tapi mereka tidak pernah tiba ke destinasi.. Lantas, Gadis berasa jemu dan bosan,
Jejaka diturunkan dan ditinggalkan di tepian.

Gadis mengambil-alih mengemudi, mendayung kolek dan menumpangkan ramai lagi Teruna dan Pemuda..
Tak terbilang ramainya, lagi-lagi kesemuanya juga sama.
Semuanya hanya tahu menginjak-injak si kolek, semuanya cuma tahu memusnahkan dan menjahanamkan.
Itu belum lagi bila dilambung badai dan dihempas ombak,
kesemuanya menjadikan Gadis lelah dan menyerah.
Kini, di usia yang mencecah dua puluh enam, Gadis berpatah-pulang.
Berputus asa untuk ke destinasi dan sudah serik mencari nakhoda buat si kolek.
Gadis kembali ke tempat asal di mana dia bermula. Tapi dia tahu dia telah terlambat,
kolek telah hancur.. kolek telah lunyai.. kolek telah punah dihempas badai dan dilatam Sang Jantan berhati hitam.
Kolek sudah tidak molek..

Kerana itu, setelah sekian lama, kolek hanya tertambat mereput di sudut rerumpun buluh.

Gadis menghampiri kolek. Kaki yg mengecut di dalam sejuk arus sungai tidak dihirau.
Tadi malam, selepas menangis sepuasnya, Gadis sempat tertidur dan bermimpi.
Di dalam mimpinya, Gadis ternampak seorang Pendeta.
Pendeta itu cuma insan biasa, menjalani kehidupannya juga seperti biasa.
Tapi cukup waktu, si Pendeta melagukan ajak-ajakan ke arah kejayaan,
si Pendeta juga berdiri di barisan hadapan, mengepalai anak-anak kecil dan yg dewasa,
tunduk dan merebahkan diri pada Tuan Besar yang sedang memerhatikan..

Kerana mimpi itu, si Gadis mulai harinya dengan harapan..
Biarpun tidak tahu apa yg perlu dilakukan, si Gadis tak berhenti berdoa agar mimpinya bukan khayalan.

Si Gadis jadi teringat : Kalau kamu impi ke mana-mana, hatta ke bulan sekalipun,
khabarkan pada si kolek, mana tahu kalau-kalau dia boleh bawa kamu ke sana..
Itu yg pernah babah pesan suatu masa dulu. Ya, Gadis tahu apa yg perlu dilakukan!

Si Gadis mengambil sebiji botol, melipat kertas ronyok dengan baik,
lantas disumbatkan lipatan itu ke dalam botol. Botol diikat pada seketul batu besar,
yang kemudiannya ditambat pada badan si kolek. Gadis mencium kolek dengan diiring air mata,
dan Gadis melepaskan kolek perlahan-lahan, membawa isinya, hatinya, dan membawakan harapan..
Gadis kemudian melambai-lambai si kolek dengan senyuman..

------------------------------------------------------------------------- @@@

Telah lepas tiga purnama kolek pergi..

Pendeta melepaskan lelah di tepi sungai,
setelah seharian berkeringat di warung melayan pelanggan.

Pendeta meniup seruling.. sayu sekali bunyinya,
malam yg sepi semakin syahdu dek tiupannya.
Pendeta menghembus nafas derita,
Pendeta melagukan muzik redha..

Pendeta tiba-tiba menghentikan mainan,
Pendeta ternampak kolek yg kehilangan tujuan,
Pendeta menarik tali si kolek dan tambat di tepian.
Pendeta membuka tutup botol dan mengeluarkan lembaran pesan-pesanan..

Pendeta kembali duduk di batuan sungai,
Pendeta memainkan kembali tiupan diiringi hujan renyai.

Di dalam mimpi Gadis,
Sang Pendeta berubah menjadi Sang Putera,
Sang Putera membaik-pulih sang kolek menjadi semoleknya,
dan Sang Putera menyudahi Syair Sengsaranya..

dan pada Tuhan, Gadis memanjatkan doa agar Sang Putera itulah Imamnya..

Hatilukajadipuisi,
Ezureen Binti Azmi,
5.12 a.m
22 Januari 2011

Catatan Di Bintang Kertas

catatan ini catatan biasa..

semalam aku belayar di dada langit,
cuba-cuba mengintai kamu di bawah sana,
tapi sayang, kamu terlalu jauh,
lalu aku cuba mencari pengawal awan,
mana tahu, kalau bisa aku meminta mengadap tuhan.

catatan ini catatan biasa..

*berbisik*
shhh.. jgn khabarkan pd org, ya?
sewaktu berjalan aku ternampak kerlipan,
penuh bergaya ku mencuri bintang2,
lantas kulipat lalu diselit di celahan dompet.

catatan ini catatan biasa..

pelangi merintangi jalanku,
sayang, dr bawah terlihat sempurna,
hakikat warna-warna tidak ada,
yg ada cuma biasan cahaya..
saat itu aku tersedar,
betapa mata menipu manusia,
betapa yg indah itu adakala perlu dicipta..

catatan ini catatan biasa..

aku berlari-lari mencari cinta,
di bumi tidak ada, siapa tahu di sini tersedia,
terserempak para-para,
aku bertanya,
"tuan, saya memerlukan cinta. bolehkah saya berjumpa tuhan,
untuk meminta terus kepadanya?"

Para-para mengetuk tongkatnya, 
hujan mula turun, lebat..
awan merekah dan aku mula jatuh rebah..
tercampak dr langit dan terdengar para-para berkata;
"jodoh adalah anugerah dariNya,
asal kamu dunia, carilah di sana,
cari dgn ibadah, carilah dgn doa,
kalau 99 usaha dan doa kamu tidak berjumpa,
mungkin dia kan tiba kali seratus usaha..

catatan ini catatan biasa..

saat jatuh ke bumi,
kamu org pertama yg ku temui,
aku sedar kini, yg kumahukan ada di sini..

catatan ini catatan biasa..

aku jadi teringatkan bintang,
dan kudapati bintangku berubah menjadi bintang kertas,
aku tersenyum, sama sekali tidak menyesal,
kerana bintang itu menjadi ilham..

catatan ini catatan.. luar biasa..

heyy kamu di sana,
aku menulis di atas bintang kertas,
mengutuskan kamu ucap-ujaran,
tentang perasaan yg berbekam di jiwa,
ttg rasa yg semakin mendera..
aku layangkan bintang kertas ke laman kamu,
pasangkan ia di beranda rumah,
kerana aku percaya, ia masih punya cahaya..

hatilukajadipuisi,
Ezureen Azmi
300111
630 am








Gadis Tebing Sungai..

Seorang Gadis, di tebing sungai.
Duduk. Kaki terendam di dalam air.
Sunyi. Itu dunianya.
Sepi. Itu darahnya. 

Hari ini digores-gores batu kecil di atas batu besar.
Hari esok diketuk-ketuk batu kecil di atas batu besar.
Hari-hari semalam, itulah ibadahnya.
Selain dari mendiam. Selain dari menangis.

Nun jauh di seberang sungai ada warung,
...dan Pria.
Hari ini dia ternampak Gadis.
Esok dia terlihat Gadis.
Malam-malam kelmarin sudah diintainya Gadis.
Tapi Gadis tidak sedar.

Kenapa perlu ada kehidupan kalau di akhirnya manusia tetap dijenguk kematian?
Kenapa perlu ada hujan kalau penyudahnya adalah kebanjiran?
Kenapa perlu ada embun kalau nantinya pagi menjengah dan embun berubah?
Kenapa perlu ada manusia kalau kebanyakannya terdiri daripada pemusnah?
Dan kenapa perlu ada cinta jika ia adalah perosak terbesar jiwa?

Gadis mengeluh lagi.
Lelah bertanya tanpa mendapat jawapannya.
Sekonyong-konyong seketul batu berbungkus kertas terjatuh ke riba.
Aneh, ada tali terikat pd batu bersurat.
Gadis mengangkat batu dan tali menegang.
Nun jauh di hujung sana Pria memegang hujung tali sambil tersengih.

Dengan wajah muram - tali dilerai, kertas dibuka dan dibaca,
"Jangan sering-seringnya merendam kaki di dalam air. Lama-lama nanti kecut, kamu akan cepat kelihatan tua kerananya. Salam kenal, Pria.."

Gadis terpana dan terkesima. Melumur jemari dengan tanah lalu diukir tulis-balasan;
"Melontar batu sebegitu besar. Mahu membunuh sayakah?"
Gadis mengikat kertas pada batu. Kembali dilontar pada Pria.
Pria membuka dan membaca lembaran kertas lalu ketawa.

"Kamu punya tulisan yg comot dan hodoh."
Gadis meronyok kertas dengan seribu rasa.
"Itu kerana saya menulis pada kamu tanpa rela."
Lagi-lagi Pria tertawa.

Batu mendarat hampir di kepala Gadis. Mujur, kecil sedikit batunya.
Gadis menayangkan buku lima pada Pria. Hahaha - Pria ketawa.
"Hairan. Saya tak pernah suruh kamu balas. Jadi, siapa yg maksa?"
Gadis menunduk, mengambil anak-anak batu di dlm air lalu melemparkan bertubi2 ke arah Pria. 
Sekuat hati dihayun moga-moga dapat ia menyakiti Pria, tapi Pria tak berganjak melainkan terus tertawa dan tertawa. 
Pria tertawa kerana tahu jarak antara mereka memustahilkan balingan Gadis mengena.
Pria tertawa kerana ia tahu kalau-kalau di saat ini Gadis pasti terlalu ingin mencekik lehernya.

Pria berpaling dan berlalu pergi. Gadis lega.
Tapi lagi Gadis menyesali nasibnya.
Lagi-Lagi Gadis mengeluh dengan takdirnya.
Lagi, lagi dan lagi Gadis menangisi hidupnya.

Senandung puji-pujian, kesyukuran dan rayuan bergema tiba-tiba.
Menusuk dalam-dalam rongga anggota.

Gadis mendongakkan wajah dan terlihat Pria di kejauhan sana.
Pria menabur risalah-risalah doa,
Pria menyebar wasilah mengenal Pemegang Cakerawala,
dan menyampaikan sabda penghulu umat manusia.
Penikmatnya ahli-ahli fikir,
Khalayaknya para pengenal diri.

Pluppp! Seketul-entah-apa terjatuh di hadapannya dan air memercik di wajah Gadis, mematikan lamunan.
Gadis mengangkat muka dan terlihat Pria.
Pria membaling entah-apa untuk memanggilnya.
Pria melayang-layangkan tali yang diikat dengan batu seperti cerita cowboy dulu-dulu.
Kali ini Gadis bersedia menyambut.
Bimbang batu mendarat di kepala.

"Kamu mengintip saya?" - Pria.
Batu berganti tangan.
"Tiada sebab utk saya mengintip anda" - Gadis.
Batu terbang lagi.
"Rindu, mungkin?"
Gadis mengangkat muka memandang Pria.
Tanpa membalas Gadis menjelirkan lidahnya.
Dan masih, Pria hanya ketawa-suka.

Bulan menunjukkan rupa. 
Gadis di birai jendela.
Kelibat Pria di mana-mana di seberang sana.
Gadis tidak dapat melelapkan mata.
Saat ini Akal dan Hatinya melancarkan perang saudara.
Tanpa sedar telah dikenali Pria selama beberapa purnama.
Selama itu juga,
Gadis tidak berendam dalam air mata.
Gadis sudah tersenyum semula..

---------------------------------------------------------------------------- @@

Gadis terus hanyut dalam dunianya,
menopang dagu,
meneliti ukiran batu yg dibuat dulu,
dan dia keliru..

Pria menabur risalah-risalah doa,
Pria menyebar wasilah mengenal Pemegang Cakerawala,
dan menyampaikan sabda penghulu umat manusia.
Penikmatnya ahli-ahli fikir,
Khalayaknya para pengenal diri.

Gadis jadi sayu.
Hati Gadis sendu.
Rohaninya Pria sentuh.
Ada yang Pria bawa membuka mata,
Ada yang Pria kata mencuci jiwa.

Kapal terbang kertas berenjin batu tiba diribaannya;
"Hey.. Kamu tahu kerjaanku?" - tertulis di badan kapal terbang.
Gadis menggeleng pada Pria di seberang sana.
Pria memberi isyarat agar Gadis membuka lipatan kertas untuk mencari jawapannya.
"Aku bertugas menjaga perut. Kalau terlebih jaga orang-orang bisa gendut".
Kali ini Gadis tertawa. Kali pertama semenjak sekian lama.
Kapal terbang bertukar tangan.
"Kamu perli saya?"
"Saya tak mahu berkomentar tentangnya tapi ada yang kata, bentuk fizik mempengaruhi tahap keintelektualan manusia. :)  "

Pria berpaling dan pergi.
Dari kejauhan, Gadis melihat Pria berbual-bual dengan Wanita.
Sering-seringnya Gadis melihat Pria melayani insan-manusia,
tetapi kini sang Wanita.. ada di hampir setiap sela masa.

------------------------------------------------------------------------------------- @@

Gadis di sini.
Pria di sana.
Masing-masing kehilangan kata.
Tapi keduanya di tebing sungai.
Menemani satu sama lain dalam kebisuan.

"Kenapa perlu ada kehidupan kalau di akhirnya manusia tetap dijenguk kematian?" - Gadis.
Kertas dilipat dan Pria tersenyum pada Gadis.
"Tanya Tuhan". - Pria.
Gadis diam lagi. Tapi tak berputus asa.

"Kenapa perlu ada hujan kalau penyudahnya adalah kebanjiran?"
Pria memulangkan semula kertas tanpa mencatat. Yang ada cuma tulisan tadi -
"Tanya Tuhan".
Gadis tidak berpuas hati.

"Kalau Tuhan di depan saya telah saya tanya semuanya. Saya memerlukan jawapan..
Kenapa perlu ada embun kalau nantinya pagi menjengah dan embun berubah?
Kenapa perlu ada manusia kalau kebanyakannya terdiri daripada pemusnah?
Dan kenapa perlu ada cinta jika ia adalah perosak terbesar jiwa?"
Gadis memasam muka. Pria tersenyum cuma di sana.

"24434. Itu nombor Tuhan. Sila hubungi dan tanya sendiri".
Pria berlalu sesudah itu, 
Gadis ditinggalkan masih dalam keliru.

Pria menabur risalah-risalah doa,
Pria menyebar wasilah mengenal Pemegang Cakerawala,
dan menyampaikan sabda penghulu umat manusia.
Penikmatnya ahli-ahli fikir,
Khalayaknya para pengenal diri.

Sebelum matahari menunjuk diri Gadis sudah menanti.
Wajahnya bersinar. Senyumnya mekar.
Lelah mencari jawapan pada apa yang Pria tinggalkan,
akhirnya Gadis mengerti yg tersirat.
Hari ini, dia ingin ketemu Pria dan berterima kasih.
Gadis ingin jadi yg pertama dijenguk Pria,
Gadis ingin jadi yang pertama menanti Pria,
Gadis ingin jadi yg mula-mula menyapa Pria.
Tapi Gadis telat. Di sana, Wanita telah tunggu Pria.
Wanita seringnya menjenguk Pria dan menyapa-nyapa.
Hampir di setiap ruang waktu Wanita di sana.
Gadis jadi sebal.
Apalagi bila lihat Pria gembira dengan Wanita.
Apalagi bila melihat Pria bahagia di sana.

--------------------------------------------------------------------------- @@

Terhidu saja kelibat Pria dia berlari menyembunyikan diri.
Sesekali dia tahu Pria menjenguk.
Tapi dia mematikan diri di balik pohon meranti.
Setelah Pria beredar barulah dia keluar.
Tidak tahu kenapa harus dilakukan itu,
yang pasti dia berasa iri dan terasa hati..
Terasa diri kerdil dan terpencil..
Terutamanya bila melihat senyum dan senda tawa Pria sama Wanita,
yang selama ini dikongsi hanya mereka.

Tapi Gadis tersenyum sendiri..
Dia bahagia melihat Pria bahagia dan punya teman bicara selain dia.
'Bahagia itu wujud dalam kebahagiaan itu sendiri'.
Pria pernah berkata begitu.
Dipanjatkan doa dalam hati,
moga-moga Pria bisa memaafkannya,
atau mungkin saja Pria tidak peduli..

Tiba-tiba bahunya dicuit.
Gadis berpaling. Melopong dia melihat.
"Kamu sihat Gadis?"
Gadis cuma mengangguk. Untuk apa Jejaka muncul semula dalam hidupnya.
Gadis gusar.
"Menanti Pria kah?"
Gadis mengangkat wajah. Dahinya berkerut.
"Saban hari saya mengintip kamu dari belakang pepohon sana."
"Sejak bila?" - Gadis
"Dah lama." - Jejaka
"Kenapa?" - Gadis
"Saya rindu kamu, Gadis. Tapi saya lihat kamu akrab dengan Pria.
Saya bimbang kalau kehadiran sy menganggu kamu dan dia."
Gadis tersenyum dan menggeleng. 
"Dia cuma teman biasa.." Mata Gadis berkaca.

Ternyata Tuhan punya rencana.
Kita umpama sketsa kehidupan dan Dia pengarangnya.
Pabila ada harapan dipatahkan,
dijelmakan peluang lain jadi sandaran.
Tapi soalnya.. adilkah dia menjadikan Jejaka hanya sebagai sandaran?
Benarkah tindakan yang diambil semata-mata kerana merasa diri tidak diperlukan?
Untuk seketika Gadis lapang. Untuk beberapa waktu dia berjaya menjauhi Pria.
Kehadiran Jejaka membantu dia mengalih pandangan.
Ada ketika dilihatnya Pria ke tepian seperti biasa,
tetapi dia pura-pura tidak melihat,
dan terus berbicara mesra dengan Jejaka.

"Gadis.."
Kosong.
"Gadis.." Kali ini Jejaka mencuit.
"Ya Pria.. Apa yang Pria kata tadi?"
"Saya Jejaka, Gadis.."
Gadis terkelu. Kenapa nama Pria yang harus keluar dari bibirnya?
Dia tahu dia terguriskan perasaan Jejaka.
Dia tahu dia melukakan Jejaka.
Tapi sebenarnya.. Dia pun sedang terluka..
Maafkan aku Jejaka..

______________________________________________ @@

Hari ini Jejaka tidak muncul.
Marah, mungkin.. 

Tangan Gadis menggosok permukaan batu besar yang dilakar dulu,
tulisan itu ternyata sudah mula berlumut.
Lakaran itu digores dengan batu, makanya tidak akan hapus dek waktu.
Lakaran itu juga permintaannya pada Tuhan
tapi Tuhan malah menurunkan keajaiban sejurus habis sahaja dia buat permintaan.
Gadis memanjat atas batu dan melabuhkan duduk seperti biasa,
tapi eh.. ada batu bergumpal kertas di sana.

..Bagus...
aku melihatmu sudah punya teman baru...
Kata-katanya bisa menggantikan diriku.
Bahkan bisa melampaui dalam bait-baitku
Bahkan aku lihat
Canda tawanya bisa mewakili diriku.
Bahkan aku lihat 
senyumnya lebih manis dari senyum ku....

Itu benar tulisan Pria.
Tapi Gadis tidak tahu sama ada titipan itu ditujukan untuknya.
Gadis membaca berulang kali. Cuba menebak Pria memberi untuk siapa, dan mengapa?
Gadis turun dari batu. Ada sesuatu kakinya terpijak.
Gadis menjongkok dan ternyata ia sekeping lagi kertas-batu.

Menemui Gadisku,
Kenapa kamu kelihatan tegang dan dingin denganku, Gadis?
Apakah kerana jawapan yang kuberikan padamu dulu?

Gadis..
Sebelum membuat keputusan menyapa kamu,
telah lama aku perhatikan kamu..
Saban hari aku terlihat keluhan,
Saban waktu air sungai mengalir membawa air matamu,
Saban masa kamu memahat batu besar itu penuh kemarahan..
Kenapa Gadis? Apa yang kamu luahkan?

Gadis.. 
Untuk kesemua soalan aku menyuruh kamu bertanya pada-Nya kerana,
kamu cuba untuk mempersoal Qada' dan Qadar Tuhan..
Maka aku bukanlah orang yang tepat untuk menjawab mewakili-Nya melainkan sekadar mengingatkan..
Tapi suatu perkara yang ku tahu, Gadis..
bila kamu tanya kenapa perlu ada cinta bila ia merupakan perosak terbesar jiwa,
maka jawapanku ialah kerana, cinta jugalah penawar terbesar bagi insan-insan yang telah dirosakkan jiwanya...

Gadisku..
Hidup ini umpama gelas yang separuh terisi,
Jangan terlalu fokus pada bahagian gelas yang kosong
bila kamu masih ada sebahagian gelas yang sudah diisi..
Jangan pernah berhenti berharap pada Rahmat Illahi..

Gadis menangis..
Ada keinsafan terbentuk dalam-dalam sudut hatinya,
ada kekesalan terbit dari ufuk jiwanya.
Dalam mencari dia sering tersasar dari jalanan,
dan dia bersyukur mengenali Pria yang sentiasa membantu dia mengenal jalan.

Gadis galau dari segenap sudut perasaan.
Gadis lalu teringat yang Pria pesan.
2 di waktu Subuh,
4 di kala Zuhur,
4 masa Asar,
3 pada Maghrib,
dan 4 dalam Isya' didail..
Gadis perlu bicara dan merayu pada Tuhan..

---------------------------------------------------------------------- @@

Bertemu tanpa bersua,
Bicara tanpa suara..

Salam Pria..

Benar, saban hari aku menangis seperti yang terlihat.
Benar, saban hari aku meluahkan amarahku yang teramat.

Sesungguhnya Pria,
Jika aku ini kertas.. maka aku adalah kertas yang sudah tidak kosong.
Dadaku penuh corat-coret yang terlihat kotor dan comot,
seperti tulisan-tulisanku yang pernah kamu tegur dahulu.

Sesungguhnya Pria, 
Jika aku ini kain.. maka aku adalah kain yang sudah tidak bersih.
Bidangku penuh berlumut dan koyak-rabak,
Seperti kain pengelap yang kamu gunakan buat membersihkan meja dan lantai.

Sesungguhnya Pria,
Jika aku ini perahu.. maka aku adalah perahu yang jahanam.
Tubuhku hampir hancur dimamah panas dan hujan,
mereput habis diinjak mereka yang hendak ke seberang dan dipukul badai.

Yang ku marah masa laluku,
Yang ku benci kejahilan-kejahilanku,
Yang ku tangisi kekontanganku..

Pria..
Aku adalah sang buta yang terjatuh ke dalam jurang yg dalam dan hitam,
Beberapa kali aku cuba naik ke tebing tapi gagal..
Banyak tangan cuba menarikku tapi setelah melihat kebutaanku,
mereka malah kembali menolakku ke dalam jurang itu.
Sesungguhnya..
Aku si buta yang tak bermata,
Aku si buta yang tak bertongkat,
Aku si buta yang telah jauh tersesat..

Aku di sini dengan niat memencil diri.
Saban hari kamu terlihat aku di situ,
memahat di batu merayu-Nya dengan kata;
"Tuhan, tolong jangan beri ruang untuk mana-mana pria mendekatiku.."
Aneh sekali, aku mengambil masa lebih setahun menggores batu dengan doa itu tapi kamu tidak mendatangiku.
Usai sahaja aku pahatkan noktah terakhir,
malah kamu melemparkan Salam Perkenalan untukku.
Dan lebih aneh kerana, yang aku pohonkan padaNya agar dijauhkan 'pria-pria' dari hidupku,
tapi dia malah menghantar kamu Pria, untuk memerliku..

Pria..
Aku adalah wanita yang hina dan tidak layak utk mendapat kasih siapa-siapa bahkan dari-Nya.
Tapi aku benar sungguh ingin mengutip sisa-sisa peluang yang ada untuk mencari keredhaan-Nya.
Aku sedang berusaha kembali mencari jalan-jalan yang lurus dan kembali kepada-Nya..
Tapi aku lupa aku ini si buta..
Aku memerlukan mata,
Aku memerlukan tongkat,
Aku memerlukan tangan utk memimpinku agar tidak lagi tersesat..
Kerana itu ku anggap pertemuan kita suatu rahmat..

Tapi Pria,
Bila kamu didatangi Wanita aku jadi tidak kuat.
Bukan aku cemburu atau iri,
tapi mereka membuat aku terasa sangat kerdil dan tidak pantas mendampingimu..
Melihat senyummu bersama mereka membuatku kalah..
Membuat aku terasa lemah..

Pria..
Dari kata terakhir aku rungkaikan,
Maafkan aku kerana menjauhimu..
Sesungguhnya, aku menjauh bukan kerana aku membenci,
tapi aku menjauh kerana aku mencintaimu..
Benar Pria, aku pernah berjanji dengan diri untuk tidak jatuh cinta lagi,
melainkan dengan insan yang melabuhkan cintanya pada Illahi,
dan aku yakin kamulah insan itu tapi aku tidak layak untuk kamu..
Izinkan aku pergi Pria, dan ku mohon kau halalkan segala perasaanku terhadapmu..

Yang benar,
Gadis..

Gadis melontar batu ke seberang.
Mungkin itu lontaran terakhir darinya buat Pria.
Dia tak mengharapkan jawapan,
tapi dia akan sering berulang ke sini menanti balasan dan..
jika Pria tidak mencintainya pun,
Gadis tetap tidak akan berputus asa mengharapkan rahmat Tuhan..




hatilukajadipuisi,
Ezureen Azmi,
13 Februari 2011,
5.50 am..